CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, February 4, 2012

UDANG MASAK PADPRIK

Assalamualaikum dan Salam Maulidur Rasul untuk rakan-rakan pembaca semua. Hari ini saya ada mood pula untuk menulis. Sekarang ini, buat apa pun rasa macam malas sangat. Mungkin disebabkan oleh faktor cuaca, panas semacam saja sampaikan hati pun cepat panas. Pantang salah sikit mula lah nak melenting tak tentu pasal. Maaf lah ye bagi sesiapa yang kena tempias panas itu. Ianya tidak disengajakan. Ok lah, berbalik kepada pos kali ini mengenai resipi pilihan saya. UDANG MASAK PADPRIK. Masakan padprik ini memang merupakan masakan kegemaran saya tak kira lah samada makan di kedai atau masak sendiri di rumah. Ianya mudah untuk disediakan dan sedap sangat. Asal-usul masakan ini tidak pula saya ketahui tetapi mungkin dari negara seberang, Thailand. Ini kerana kebanyakan restoran atau kedai-kedai makanan Thailand pasti akan menyediakan menu ini sebagai menu utama selain dari tomyam.  Saya tepekkan resipinya di bawah ini. 

UDANG/AYAM/SOTONG/DAGING MASAK PADPRIK ALA Pinkydahlia

1) Udang/Sotong/ Ayam/Daging - secukupnya
2) Cili Kisar - secukupnya
3) Cili Api - 4/5 biji
4) Sos Cili - secukupnya
5) Kicap - secukupnya
6) Sayur campur - lobak merah, kobis bunga, putik jagung, tomato dan kacang panjang (dipotong ikut suka)
7) Daun saderi
8) Daun limau purut
9) Bawang merah dan bawang putih - untuk menumis
10) Bawang besar 

Cara-cara menyediakannya :-

Bawang merah dan bawang putih ditumbuk halus dan ditumis sehingga naik bau. Saya suka untuk lebihkan bawang putih sebab rasanya pasti berbeza dan lebih sedap. Setelah naik bau, masukkan cili kering yang dikisar. Kuantiti mengikut kadar ketahanan lidah anda, kalau nak lebih pedas tambah lebih cili kisar tersebut. Biarkan sehingga masak cili kisar tersebut, kemudian masukkan udang/sotong/ayam atau daging atau kesemuanya sekali sekiranya anda suka. Masukkan cili api, sedikit sos cili serta kicap mengikut citarasa anda. Masukkan daun saderi serta tambahkan sedikit air untuk lebihkan kuahnya. setelah mendidih terus masukkan sayur-sayur campur yang dipotong ikut suka tadi. Masukkan juga daun limau purut untuk bau yang lebih enak. Akhir sekali masukkan bawang besar  yang dipotong bulat. Senang dan ringkas. Saya main campak-campak saja mengikut suka hati saya. Yang penting sedap. 


Dah pun siap. Boleh lah dimakan terus dengan nasi putih yang masih panas. Pasti terangkat sehingga tak sedar pun kalau mak mertua lalu di belakang. He he he he. Bagi yang ada suami tu, jangan pula makan sorang-sorang. Makan bersama sudah pasti akan lebih mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Almaklumlah, masakan air tangan isteri tidak akan pernah sama dengan air tangan bibik atau tukang masak di kedai. 

Sekadar peringatan, kalau anda masak padprik menggunakan udang, jangan pula dimasukkan dahulu. Ini untuk memastikan rasa udang masih segar dan rasa manis udang itu masih terpelihara. Sayur-sayur tadi juga jangan dibiarkan masak terlalu lama. Saya suka bila makan sayur itu tadi dengan rasa rangupnya masih ada. Wahhh...terliur dah saya. Tiba-tiba pula perut terasa lapar, kalau dapat makan masak padprik dengan nasi panas malam-malam seperti ini pasti akan terasa seperti di syurga. He he he he. Merepek pula saya. Jadi, untuk anda semua, SELAMAT MENCUBA. Saya pasti anda akan lebih disayangi suami dan anak-anak serta mak mertua sekali. Insyaallah...... ;-)


------> SELAMAT MENJAMU SELERA<------


No comments:

Post a Comment